OxBridge & Mak Development Sdn Bhd (OxBridge & Mak Development) yakin dapat menyelesaikan masalah harga kediaman yang tinggi menerusi aplikasi teknologi Reincforced Concrete Methodology (RCM), sekali gus membolehkan unit kediaman dibina pada harga jauh lebih rendah.
Pengarah Urusan, Alan Mak, berkata penyelesaian itu mampu dicapai menerusi pengurusan projek dengan lebih baik membabitkan faktor tempoh pembinaan, kos bahan mentah serta kos tenaga buruh yang diperlukan. Katanya, menerusi kaedah RCM dan pengurusan projek yang baik, syarikat itu mampu menawarkan sebuah unit kondominium di Bangsar, Kuala Lumpur pada harga RM250 sekaki persegi berbanding harga pasaran sekarang sebanyak RM1,100, termasuk kos pengambilalihan tanah. RCM bukanlah sesuatu yang baru dalam industri yang mana teknologi itu menyaksikan kebanyakan bahagian bangunan di buat siap di kilang sebelum dihantar dan dipasang di tapak projek. “Bagaimanapun, menerusi pengurusan projek yang baik, kami boleh mengawal kos bahan mentah binaan dengan menggunakan teknologi RCM. “Selain mengawal kos bahan mentah pembinaan, teknologi RCM juga membolehkan sesebuah projek kediaman bertingkat disiapkan antara setahun hingga setahun setengah saja, berbanding tempoh lebih dua tahun yang diperlukan industri sekarang. “Tempoh pembinaan yang pendek membolehkan penjimatan yang banyak, terutama upah tenaga kerja,” katanya. Mengikut kajian OxBridge & Mak Development, lebih 40 peratus penduduk di Kuala Lumpur menetap di kediaman yang disewa manakala di Putrajaya, 90 peratus penduduknya masih tidak mempunyai kediaman milik sendiri. Disebabkan harga rumah baru yang sangat tinggi terutama di bandar raya, kerajaan sedang merumus penyelesaian termasuk cadangan menaikkan Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT), mengenakan sekatan pindah milik dalam tempoh tertentu serta projek perumahan rakyat PR1MA. Sehubungan itu, katanya, pihaknya mahu membantu dan sedang agresif meneroka peluang usaha sama dengan pemilik tanah dan kerajaan bagi mencari tapak sesuai untuk membangunkan kediaman mampu milik dalam kawasan Lembah Klang menggunakan kaedah RCM. Berita Harian http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/TeknologiRCMkurangkanhargarumah/Article
0 Comments
|